Me a Sunflower!

Hausen, Frankfurt, Germany
unpredictable..

Thursday, February 26

Orang Yang Dizalimi

Dalam suatu hadith disebutkan bahawa apabila seseorang itu berbuat aniaya atau zalim kepada saudara seagamanya, maka pahala milik yang menzalimi itu diberikan kepada saudaranya yang dizalimi. Sehubungan dengan itu Abu Hurairah meriwayatkan bahawa pada suatu hari Rasulullah S.A.W duduk-duduk dalam suatu majlis. Tiba-tiba baginda tersenyum, sehingga kelihatan dua gigi saing beliau.

Maka di antara hadirin bertanya "Mengapa engkau tersenyum sendirian ya Rasulullah?" Beliau menjawab "Aku melihat dua orang lelaki di antara umutku sedang berlutut di hadapan Tuhanku, maka berkatalah orang yang pertama: "Ya Allah kembalikanlah hakku yang dizalimi oleh saudaraku! (maknanya berikanlah kepadaku pahala orang yangmenzalimi saya ini) .Maka Allah berfirman: "Berikanlah hak pahala itu kepada saudaramu yang telah kau zalimi itu, hai fulan!"

Fulan menjawab "Tidak ada lagi kebajikan yang tinggal pada diriku ya Allah" . Lalu orang pertama berkata "Kalau begitu biarlah dia memikul dosa-dosaku" . Abu Hurairah berkata "Selepas menceritakan perbantahan kedua-dua orang itu di hadapan Allah, berlinanglah airmata Rasulullah, seraya beliau bersabda:

"Hari itu adalah hari yang maha besar. Sebab di hari itu manusia menginginkandosanya yang berat dipikul oleh orang lain" Setelah itu beliau pun berkata pula "Maka Allah pun berfirman kepada orang yang pertama yang dahulu dizalimi oleh saudaranya itu dan sekarang meminta haknya: "Cubalah angkat mukamu, lihatlah syurga di atasmu itu! "

Orang itu pun mengangkat muka dan kelihatanlah olehnya berbagai kebajikan dan beraneka warna nikmat IIlahi. Lalu dia bertanya "Ya Allah untuk siapakah semua itu?" Allah menjawab: "Untuk orang yang sanggup membayar harganya". Hamba itu pun bertanya kepada Allah "Siapakah yang sanggup membayar harganya?" . Allah menjawab: "Engkau sendiri" . Orang itu bertanya lagi "Bagaimanakah caranya?" . "Dengan memberi maaf kepada saudaramu itu" jawab Allah. Orang itu berkata "Sekarang juga dia telah aku beri maaf, ya Allah" . Maka Allah berkata kepadanya: "Ambillah tangan saudaramu itu, bimbinglah dia supaya dia boleh masuk syurga bersamamu" .

Mengakhiri ceritanya itu bersabdalah Rasulullah S.A.W "Oleh sebab itu takutlah kamu sekelian kepada Allah, dan perbaikilah hubungan di antara kamu" . Maknanya jika hubungan persaudaraan itu terjejas kerana yang satu merasa dizalimi oleh yang lain, maka hendaklah segera saling memaafkan.. Meskipun orang yang dizalimi itu memperoleh pahala daripada orang yang menzalimi, tetapi Allah akan memberikan pahala yang lebih besar lagi kepadanya jika dia memaafkan perbuatan saudaranya yang zalim itu dan pahala itu adalah syurga.

*Petikan dari Buku Menyingkap peristiwa dan keistimewaan Sirah kehidupan Nabi SAW Sahabat & Ahli hikmah
Disusun oleh: Ustaz Abdul Salam Basok Al-Haj.


1 comment: