Me a Sunflower!

Hausen, Frankfurt, Germany
unpredictable..

Tuesday, December 30

Semuanya Pinjaman Semata


Semuanya adalah pinjaman….. Sebagai seorang manusia yang mengakui beriman kepada Tuhannya dan selalu mengaku kita adalah hambaNya, sepatutnya kita sentiasa sedar sifat-sifat hamba itu. Hamba itu sangatlah lemah, tidak mampu, terlupa, tidak memiliki dan segala-gala sifat hamba yang semua orang tahu sifatnya. Jika suatu masa kita pernah memiliki sesuatu, kita perlulah sentiasa ingat, semua itu hanyalah pinjaman semata-mata dari Tuan kita, iaitu Allah s.w.t Tuhan kita yang maha kaya memiliki segalanya.

Sudah namapun pinjam, jadi bila-bila masa saja ia boleh diambil semula, dan bila-bila masa juga ia boleh diberi semula. Jangan kita ingat hanya harta saja yang boleh diberi pinjam, memang ya harta saja yang boleh manusia beri pinjam, tapi Allah yang maha kaya maha mampu meminjamkan apa saja, itulah betapa jauhnya perbezaan antara kemampuan kita dengan Tuhan. Allah juga mampu memberi pinjam pada hambaNya rasa-rasa dan sifat-sifat yang tidak dapat dikawal oleh kita walau kita yang merasanya. Allah memberi pinjam rasa bahagia, rasa cinta, rasa yakin, kefahaman, kepandaian, ketenangan dan pelbagai lagi rasa-rasa dan sifat yang sangat disukai manusia.

Sangat terbukti itu semuanya pinjaman, kadang-kadang paginya kita merasa sangat bahagia dan tiada siapa menduga petangnya kita dilanda kesedihan hingga bisa mengalirkan air mata. Jika bukan pinjaman sudah tentu apabila bahagia kita akan sentiasa merasa bahagia sampai bila-bila, tapi yang berlaku adalah sebaliknya. Inilah lumrah hidup di maya pada ini. Begitu juga dengan kasih sayang, bila-bila masa saja ia boleh hilang dan lenyap, dan boleh muncul semula bila-bila masa mengikut kehendak Tuhan. Keyakinan yang selama ini Tuhan berikan, bila Tuhan tarik teruk jadinya, akan dirasailah sunyi dalam keramaian, mana pergi terasa asing, gelak ketawa hanya penutup duka lara, rasa diri tidak berguna dan senang putus asa. Bila rasa-rasa yang negatif mula subur, hanya kembali kepada Tuhan saja ubatnya… So pe lagi Jomlah beb pakat-pakat kembali pada Tuhan.

Um..., ni aku tulis ketika minda aku tgh normal dan dah rasional, tapi biasaklah, manusia ni lagi2 species hawa ni selalu emosional, ada problem je sedih lebih2, kadang2 tak padan dengan kes. Tapi aku selalu pastikan kesedihan aku tu berbaloi ngan kes, bnanya aku tak tau cam mana nak terangkan pe yang aku rasa ni, takpelah aku doakan pe yang aku nak sampaikan walau tak tersampai Tuhan fahamkan direct kat korang, itupun kalau hati korang bersih. Kalau macam hati aku yang kureng ni memang payah lah, dapat pun sikit2 je, if dapat direct pun ilmu yang tak bermanfaat.. keje setan lah tu kan…

Huh, aku bnanya tak tau apa yang aku nak sampaikan sebenarnya, cuma kenape ntah (padahal aku tau sebabnya) tiba2 tgn aku gatal nak mengarut kat blog time ni, aku risau telinga org dah muak dengar cerita aku, so baik aku membebel kat sini, ni pun tgk mood aku gak, bila2 masa aku leh stop ni bila penyakit malas aku datang.. n memang aku nak stop pun.. ade mood aku sambung lagi..

Wednesday, December 24

Karangan Budak Mana Ntah.


Aku sangat sedar Tuhan adalah hiburan yang paling hakiki, tapi kat sini aku nak share satu benda yang ofismate aku forward setahun lepas time aku tgh syok wat keje kat ofis (seingat aku mamat itu adalah Bard, balak Tisha ni, jgn sape2 kacau!) Lepas baca karangan ni aku terus gelak tak tertahan-tahan hampir mengalirkan air mata, dasyat sungguh karangannya.. respek habis gue kat pengarang asalnya… ntah budak tadika mana agaknya… Baca ye...

Pagi itu pagi minggu. Cuaca cukup sejuk sehingga mencapai takat suhu beku. Sebab itu saya tidak mandi pagi sebab air kolah jadi air batu dan air paip tidak mahu keluar sebab beku di dalam batang paip. Pagi itu saya bersarapan dengan keluarga di dalam unggun api kerana tidak tahan sejuk. Selepas itu emak saya mengajak saya menemaninya ke pasar. Tetapi saya tidak mahu. Selepas emak menikam perut saya berkali-kali dengan garfu barulah saya bersetuju untuk mengikutnya. Kami berjalan sejauh 120 kilometer kerana pasar itu letaknya 128 kilometer dari rumah.Lagi 8 kilometer nak sampai pasar saya ternampak sebuah lori kontena meluru dengan laju dari arah belakang. Dia melanggar emak saya.

Emak saya tercampak ke dalam gaung. Dia menjerit “Adoi!”. Lepas itu emak saya naik semula dan mengejar lori tersebut. Saya pun turut berlari di belakang emak saya kerana takut emak saya melanggar lori itu pula. Pemandu lori itu nampak kami mengejarnya. Dia pun memecut lebih laju iaitu sama dengan kelajuan cahaya. Kami pula terpaksa mengejar dengan lebih laju iaitu sama dengan dua kali ganda kelajuan cahaya. Emak saya dapat menerajang tayar depan lori itu. Lori itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan lalu bertembung dengan sebuah feri. Feri itu terbelah dua. Penumpang feri itu yang seramai 100 orang semuanya mati.

Pemandu feri itu sangat marah. Dia pun bertukar menjadi Ultraman dan memfire pemandu lori. Pemandu lori menekan butang khas di dalam lori dia..lori itu bertukar menjadi robot Transformer. Mereka bergaduh di udara. Emak saya tidak puas hati. Dia pun terus menyewa sebuah helikopter di Genting Highlands dan terus ke tempat kemalangan. Dia melanggar pemandu feri yang telah bertukar menjadi Ultraman itu. Pemandu feri itu terkejut dan terus bertukar menjadi pemandu feri semula lalu terhempas ke jalanraya. Pemandu feri itu pecah. Pemandu lori sangat takut melihat kejadian itu. Dia meminta maaf dari emak saya.

Dia menghulurkan tangan ingin bersalam. Tetapi emak saya masih marah. Dia menyendengkan helikopternya dan mengerat tangan pemandu lori itu dengan kipas helikopter. Pemandu lori itu menjerit “Adoi..!” dan jatuh ke bumi. Emak saya menghantar helikopter itu ke Genting Highlands. Bila dia balik ke tempat kejadian, dia terus memukul pemandu lori itu dengan beg tangannya sambil memarahi pemandu lori itu di dalam bahasa Inggeris.

Pemandu lori itu tidak dapat menjawab sebab emak saya cakap orang putih. Lalu pemandu lori itu mati. Tidak lama kemudian kereta polis pun sampai. Dia membuat lapuran ke ibu pejabatnya tentang kemalangan ngeri itu. Semua anggota polis di pejabat polis itu terperanjat lalu mati. Orang ramai mengerumuni tempat kejadian kerana ingin mengetahui apa yang telah terjadi. Polis yang bertugas cuba menyuraikan orang ramai lalu dia menjerit menggunakan pembesar suara. Orang ramai terperanjat dan semuanya mati.

Selepas itu emak saya mengajak saya ke pasar untuk mengelak lebih ramai lagi yang akan mati. Di pasar, emak saya menceritakan kejadian itu kepada penjual daging. Penjual daging dan peniaga-peniaga berhampiran yang mendengar cerita itu semuanya terkejut dan mati. Saya dan emak saya terus berlari balik ke rumah. Kerana terlalu penat sebaik saja sampai di rumah kami pun mati. Itulah kemalangan yang paling ngeri yang pernah saya lihat sebelum saya mati.

Hehe, kelakar tak, malu lah aku kalau korang cakap.. ” biasa je..”

Friday, June 20

Redhalah Dengan Ketentuan Allah

Redha akan ketentuannya. Dia yang Maha Mengetahui yang terbaik untuk kita.

Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Di situ ada seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba tiba dia tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, separuh jadi. Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah memang kesemuanya belum masak lagi.Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu. Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Tuhan yang menyatakan bahawa Tuhan dapat melakukan perkara-perkara ajaib, bahawa bagi Tuhan tiada yang mustahil. Lalu diapun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa , “Tuhan , aku memohon kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe. Amin”

Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia sangat yakin bahawa Tuhan pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe. Namun, dia termenung seketika sebab kacang tu masih tetap kacang soya. Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Tuhan. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi. “Tuhan, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagiMu. Bantulah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe, Amin”. Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu!! Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul.

Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yg sangat tinggi dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak. Dia berfikir mungkin keajaiban Tuhan akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar.Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa. “Tuhan, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amin”. Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya.

Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yg berdebar-debar dia punmembuka bakulnya dan menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada.Perlahan- lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!! Dia pun kaget seketika lalu menarik nafas dalam-dalam.Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Tuhan kerana doanya tidak dikabulkan. Dia berasakan Tuhan tidak adil. Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe. Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi.

Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula kurang.Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Tuhan, pasti Tuhan akan menolongnya.Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, “Tuhan,
berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini.”Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita.”Maaf ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi.”

Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya
“Tuhan, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin”. Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi! Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada Tuhan. Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu.Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu, “Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?” Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England, si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum jadi lagi
supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap.

Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh Tuhan…

Moral:

Pertama: Kita sering memaksakan kehendak kita kepada Tuhan sewaktu berdoa, padahal sebenarnya Tuhan lebih mengetahui apa yang kita perlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita.

Kedua:. Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita sebagai hambaNya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap apa yang dipinta. Percayalah bahawa Tuhan akan mengabulkan doa kita sesuai dengan rancanganNya yang mungkin di luar jangkaan kita.

Ketiga : Tiada yang mustahil bagi Tuhan

* petikan dari e-ikhwan

Saturday, April 26

Kenali Seseorang

Kalau kita nak tahu seseorang itu apa kesukaannya,
Tidak perlu berkenal berlama-lama,
Sekalipun orang itu kita belum kenal dengannya,
Kalau kita berbual-bual dengannya sejam lamanya,
Kita kenal siapa dia,
Kalau boleh biarkan dia bercakap kita mendengar sahaja,
Apa yang dia banyak cakapkan,
Itulah dirinya,
Berdasarkan panduan Rasulullah menyebut
“Kalau seseorang itu suka sesuatu banyak menyebutnya”
Kalau di masa satu jam itu dia banyak bercerita tentang

Makan minum,
Itulah dia kesukaannya,
Kalau dia banyak menyebut duit dan kekayaan,
Itulah dia jiwanya,
Kalau dia banyak menyebut perempuan,
Itulah hobinya,
Kalau dia menyebut banyak kesusahan
Ertinya dia tidak sanggup menanggung penderitaan,
Kalau orang itu suka menyebut dirinya, kelebihannya
dan kemampuannya,
Orang itu hidupnya suka orang memujinya,
Kalau orang itu suka menyebut kejahatan orang
dan keburukan orang,
Orang itu adalah jahat, itu kaki mengumpat namanya,
Kalau ilmu dia suka menyebutnya,
Kalau suka membaca dan beritahu orang itu hobinya ilmu
atau suka menunjuk-nunjuk ilmu,
Kalau orang itu menyebut Tuhan selalu,
Menyebut-nyebut dosanya, merasa lemah dan bersalah,
Selalu diulang-ulang perkataan itu di dalam perbualannya,
Menunjukkan orang itu beragama,
Begitulah seterusnya kalau orang itu berkata
Di dalam perbualannya dengan kita
Banyak menyebut tentang sesuatu perkara,
Itulah kesukaannya,
Begitulah kita kalau hendak mengenali orang,
Sekalipun kita tidak kenal dia,
Kalau kita berjumpa dia dengar sahaja dia berkata-kata,
Cukup sejam sahaja,
Kita kenal siapa dia

Monday, February 25

Semak Kualiti Handphone Anda


Adakah handphone anda sebelum ini selalu rosak? Ataupun sejak beli drpd 5 tahun lalu masih lagi berfungsi dgn baik??

Sekarang, mari kita semak kualiti handphone masing2 agar sesuatu tindakan dpt diambil dgn segera...

Langkah 1
Sila taip *#06# pd kekunci handphone anda utk melihat Serial Number.

Langkah 2
Sila semak nombor apakah yg berada pada Serial Number yg bilangan ke tujuh dan lapan (XXXXXX??XXXXXX. ...)

Langkah 3
Berdasarkan perincian di bawah, sila semak dgn nombor yg ke tujuh dan ke lapan pd Serial Number handphone anda td.

Perincian 1
Jika nombor ke tujuh dan ke lapan adalah 02 atau 20, ini bermaksud handphone anda telah dipasang di Emirates & kualiti sgt teruk.

Perincian 2
Jika nombor ke tujuh dan ke lapan adalah 08 atau 80, ini bermaksud handphone anda telah dipasang di Germany & kualiti biasa.

Perincian 3
Jika nombor ke tujuh dan ke lapan adalah 01 atau 10, ini bermaksud handphone anda telah dipasang di Finland & kualiti agak baik.

Perincian 4
Jika nombor ke tujuh dan ke lapan adalah 00, ini bermaksud handphone anda telah dipasang di negara pengeluar handphone tersebut & kualiti sangat baik.

Perincian 5
Jika nombor ke tujuh dan ke lapan adalah 13, ini bermaksud handphone anda telah dipasang di Azerbaijan & kualiti paling teruk.

*fakta ini tiada jaminan kebenarannya, saje2 je.. hehe...