Me a Sunflower!

My photo
Hausen, Frankfurt, Germany
unpredictable..

Wednesday, February 25

Sabar Dengan Ujian


ALLAH berfirman di dalam Hadis Qudsi:

“Aku hairan dengan orang Mukmin. Dapat nikmat pun dia memperolehi pahala. Dan diuji dengan kesusahan pun dapat pahala.”

Orang Mukmin yang sejati, bila ALLAH susahkan dia, dia berfikir, tentu ALLAH mahu beri dia pahala sabar. Pahala sabar itu bighairi hisab -- tanpa dihitung-hitung. Kalau kebaikan biasa diberi ganjaran satu persepuluh atau paling-paling tinggi satu hingga tujuh ratus, tetapi pahala sabar, ALLAH mungkin balas dengan tujuh juta atau seisi langit dan bumi; terpulang pada ALLAH untuk memberinya. Patutlah orang Mukmin boleh senyum gembira dengan ujian kesusahan yang diberikan oleh ALLAH SWT, sebab dia tahu dia akan diberi pahala. Itulah yang dimaksudkan dengan Hadis di atas.

Bila dapat nikmat atau kesenangan seperti sihat badan, ada duit, dapat suami, dapat isteri, dapat cahayamata, dapat makan minum dan sebagainya, dia sedar dan insaf bahawa nikmat itu datang daripada ALLAH. Oleh itu dia sentiasa rasa syukur kepada ALLAH SWT, “Aku mesti gunakan nikmat ni kerana ALLAH. Aku mesti tingkatkan perjuangan, aku mesti tambah kebaikan, sebab ALLAH beri kebaikan kepada aku”. Oleh itu dia dapat pahala. Yakni pahala syukur atas nikmat yang ALLAH beri.

Sekiranya dia dapat kesusahan pun, dia dapat pahala. Jauh sekali bezanya dengan kita. Kita bila diberi nikmat, nikmat itu menjadi bala, mendatangkan dosà. Bila diuji dengan kesusahan pun ia menjadi bala. Yang senang pun kita dapat bala, yang bala jadi dua kali bala.

Kalau seseorang itu memandang kecil pada ALLAH, waktu senang dia akan lupakan ALLAH. Maka jangan sangka kesenangan boleh mendekatkan dia dengan ALLAH. Kesusahan lebih baik baginya sebab dia akan sedar dirinya hamba. Sakit gigi pun dah tak tahan. Selama ini aku ingat aku ini hebat, gagah. Bila diuji baru tersedar. “Rupanya aku ni hamba!”. Baru kita terasa diri kita kecil, dan ALLAH itu besar.

Tapi sekiranya memang tak pernah kena uji, kalau diuji pun hanya dengan ujian yang kecil-kecil, bukan ujian yang besar-besar, bila diberi ujian lebih sikit, kita rasa kitalah yang paling berat diuji di antara manusia-manusia. Terlalu sakitnya jiwa kita...

Menjaga hubungan hati dengan ALLAH itu penting. Sekiranya ujian-ujian yang ALLAH timpakan membuatkan kita merasa tidak senang, maknanya kita tidak senang dengan ALLAH. Kita tidak senang dengan Dia yang mencipta diri kita. Gambarkan bagaimana. Tentulah ALLAH murka. Di dalam Hadis Qudsi ada disebut:

“Kalau engkau tidak sabar dengan ujian dan ketentuan Aku, maka carilah bumi selain daripada bumi Aku, carilah langit selain dari langit Aku. Dan carilah Tuhan selain daripada Aku.”

Bolehkah Kita cari Tuhan lain? Bolehkah kita berpijak di bumi selain daripada bumi ALLAH? Katalah Kita nak pergi ke bulan. Bulan pun hak ALLAH juga. Seluruh isi langit dan bumi serta yang berada di antara kedua-duanya adalah kepunyaan ALLAH. Demikian murkanya ALLAH SWT hingga Dia berfirman demikian. Kalau tidak sabar dengan ujian dan ketentuan-Nya, Dia menyuruh kita mencari bumi selain daripada bumi-Nya. Maknanya bumi yang di atasnya tidak ada ujian; hanya penuh dengan keindahan sahaja. Sedangkan ALLAH sudah tentukan, kehidupan di bumi-Nya ini ada payah dan ada senang.

Katakanlah, kita berdoa kepada ALLAH, minta nikmat sahaja. Kalau kita diberi nikmat, adakah kita mampu bersyukur setiap ketika? ALLAH tambah sahaja rezeki seringgit, Kita tambah sembahyang sunat dua rakaat. Bertambah sahaja sepuluh ringgit rezeki kita, Kita tambah 20 rakaat sembahyang sunat. Begitulah seterusnya, untuk menunjukkan syukur kita terhadap nikmat ALLAH. Mampukah kita berbuat begitu? Kalau tidak mampu, terimalah sedikit ujian daripada ALLAH, untuk dapat pahala. Sebab kalau kita dapat banyak nikmat daripada ALLAH pun, bukannya kita boleh menambah bakti. Bukannya kita boleh menambah kebaikan. Jangan-jangan kita bertambah jahat!

Kalau selama ini kita kurang duit, kita rajin juga sembahyang. Tapi bila duit bertambah banyak, sembahyang pun tunggang-langgang. Bolehkah kita berjanji dengan Tuhan; bila bertambahnya rezeki, kita akan tambah kebajikan yang dibuat. Kita akan tambah sembahyang sunat, tambah khidmat kepada orang, tambah sifat pemurah dan sebagainya. Apakah kita mampu berbuat demikian? Kalau tak mampu, apa yang ALLAH timpakan kepada kita, kita terima sahaja, kerana ALLAH bermaksud untuk memberikan pahala kepada kita, cuma kita yang tak faham.

Waktu anak-anak kita main tepi jalan, kereta pula lalu-lalang, Kita rasa bimbang, lalu kita panggil dia balik. Kita pukul sebagai pengajaran supaya dia tidak mengulangi lagi. Dia berkata dalam hati, “Kenapa ayah sanggup memukul saya, sakit sungguh!!.” Tapi sekiranya anak kita faham, dia berterima kasih kerana tindakan kita boleh menyelamatkan dia daripada kena langgar. Mana lebih sakit kena pukul ayah atau dilanggar lori ?

Tapi anak itu tak faham didikan ibu dan ayahnya, lalu dia jadi marah. Padahal cuma dipukul sedikit sahaja; kalau dibiarkan dilanggar lori, lagi sakit dan parah.

Kalau anak faham, dia memikir “Tak apalah dipukul sedikit sebagai mengingatkan aku supaya jangan bermain di tengah jalan. Sebab kalau aku lalai, mungkin dilanggar lori. Kalau tak mati pun, patah kaki, patah tangan. Lalu dia akan berfikir, baiknya ayah dan ibu aku ini bertanggungjawab. Rupanya begitu sayangnya dia dengan aku. Bila si anak berfikir begitu, taklah rasa sakit hati, nak marah dan memberontak.

Bayangkan pula, kalaulah sejak dulu hingga ke hari, seluruh guru di dalam dunia ni, kerana nak menjaga ketenangan hati dan fikiran anak muridnya, mereka pun biarkan anak muridnya berbuat apa saja. Apa yang muridnya buat walaupun salah, mereka tak marah, mereka tak akan pukul atau rotan. Anak muridnya nak mentelaah atau tidak, nak baca buku atau tidak, mereka tak tegur. Marah tidak, rotan pun tidak. Agak-agaknya bagaimana manusia ini keadaannya?

Begitu juga kalau kita sebagai ibu bapanya, dia tak buat kerja rumah, dia malas baca buku dan sebagainya, kita tak tegur atau rotan. Bagaimana agak keadaannya? Sebab kalau pukul atau tegur tentu budak itu akan sakit hati. Kalau kita berfikir begitu, apa akan jadi? Akhirnya guru tak akan ke sekolah, anak-anak murid pun tak akan ke sekolah. Kita dulu pun pergi ke sekolah kerana mak ayah yang suruh. Kalau tak pergi, ditariknya telinga kita. Cuma baru sekarang kita tahu nilai harga ilmu. Kalau di waktu sekolah rendah kita biarkan anak kita tanpa ditegur, sampai sekarang ini pun dia tak mahu sekolah. Apa akan jadi dengan manusia yang seperti ini?

Begitulah kalau ALLAH, tak disusah-susahkan kita, apa akan jadi pada kita ini? Jadi begitulah, ALLAH susahkan kita sedikit untuk melepaskan kita dari penderitaan yang besar di Akhirat kelak. Kalau kita faham seperti fahamnya si anak tadi terhadap tindakan ibu dan ayahnya, masyaALLAH, kita akan berterima kasih dan bersyukur kepada ALLAH SWT.

*drpd Al-Hareets

1 comment:

  1. very touching n nice.. i love this touch

    ReplyDelete