Me a Sunflower!

My photo
Hausen, Frankfurt, Germany
unpredictable..

Thursday, September 10

Kita Tiada Apa-apa..


BETULKAH manusia yang merasakan dia memiliki itu benar-benar ia memiliki? Kerana adanya benda-benda yang ia miliki itu adalah melalui usahanya. Kalau dia tidak memiliki, apa pula buktinya? Mari bersama-sama saya untuk memecahkan persoalan-persoalan tersebut. Moga-moga diizinkan ALLAH SWT sesuai dengan tajuk yang sedang kita perkatakan ini.

Kebiasaannya dalam kehidupan kita sehari-hari, manusia selalu mengatakan, "Ini harta saya, ini kebun saya, ini estet saya, ini kenderaan saya" dan lain-lain lagi. Yang mana semua yang disebut
tadi dikaitkan dengan dirinya. Menjadikan manusia-manusia tadi orang-orang yang sombong, bermegah-megah, menunjuk-nunjuk, mempamerkan kelebihan masing-masing. Sehingga sampai hati menghina orang-orang yang tidak mempunyai apa-apa. Mereka yang tidak punyai apa-apa dianggap rendah, hina, jijik, kurang dan memalukan. Justeru itu dipertahankan berhabis-habisan milik mereka itu hingga tidak dikorbankan ke jalan ALLAH dan tidak digunakan untuk kepentingan masyarakat.

Sekalipun manusia itu pada lahimya ada usaha-usaha yang dibuat sampai ia memiliki, dan memang usaha untuk mendapat hak milik itu dibenarkan oleh ALLAH SWT selagi dia mengikut lunas syariat, atau dengan kata lain dia mengambilnya secara halal, tapi milik manusia itu sebenarnya hanya nisbi (dibangsakan) semata-mata. Hakikatnya usaha lahir itulah yang menjadikan faktor penyebab ia diizinkan ALLAH untuk memiliki, yang mana orang lain tidak boleh mencerobohinya; seperti memiliki tanah, ladang, estet, kilang, rumah, rumah sewa, kedai, kenderaan, binatang temak, emas perak, intan berlian, Wang ringgit dan sebagainya. Dan pada hakikatnya benda-benda itu bukan miliknya yang mutlak. Kenapa saya berkata begitu? Ini adalah kerana semua itu barang ciptaan ALLAH yang diberi pinjam kepada manusia buat hidup sementara di dunia yang akan binasa ini.

Sekali lagi ditegaskan, oleh kerana melalui usaha-usaha lahirlah benda-benda tadi dinisbahkan kepada milik manusia, ALLAH tidak biarkan begitu saja. ALLAH SWT datangkan pula peraturan tentang kebebasan seseorang itu mempunyai hak milik masing-masing (walaupun bukan hak milik mutlak). Sekaligus ALLAH tetapkan melalui undang-undang- Nya, keselamatan manusia dan hak miliknya itu mesti dilindungi dan tidak dicerobohi Tidak ada siapa yang boleh mengganggu gugat sesuka hati tanpa izinnya. Jika berlaku juga pencerobohan, penceroboh boleh dihukum mengikut peraturan-peraturan yang ditentukan oleh ALLAH.

Apa bukti yang saya katakan manusia ini tidak mempunyai atau memiliki apa-apa? Buktinya, katalah benda-benda tadi, manusia rasakan atau mengaku milik atau kepunyaannya yang mutlak kerana hasil usahanya sendiri. Harta miliknya, Wang ringgit miliknya, ibadah yang banyak miliknya dan semuanya adalah miliknya. Cuba kita tanyakan kepada manusia itu:

1. Tangan yang mengusahakan sehingga dapat menghasilkan benda-benda tersebut, siapakah yang ciptakan? Bukankah tangan itu ALLAH yang ciptakan dan diberikan kepadanya?

2. Akal yang sentiasa berfikir sampai dapat menghasilkan ciptaan atau rekaan-rekaan baru, moden lagi canggih itu, siapakah yang menjadikan? Apakah akal serta daya fikir (IQ) manusia yang menghasilkan berbagai-bagai kemajuan dan tamadun itu, manusia yang menciptanya? Bukankah Tuhannya juga yang menciptakannya dan memberi pinjam kepadanya.

3. Tanah, kebun, ladang dan estet yang dikatakan miliknya itu, siapakah yang mencipta dan menjadikan kepingan bumi itu? Bukankah ALLAH yang menciptakan dan menjadikannya?

4. Rumah, rumah sewa, kilang dan segala bangunan yang dikatakan miliknya, bahan rumah itu siapakah yang ciptakan? Kayu, batu, kapur dan besi untuk buat rumah itu, apakah manusia yang menciptanya? atau ALLAH yang menciptanya? Bukankah semuanya itu ALLAH yang menciptanya.

5. Kenderaan yang dikatakan miliknya itu seperti kapal terbang, kapal laut, bas, kereta, motor dan lain-lain, siapa yang mencipta besi yang menjadi bahan kenderaan itu? Manusiakah atau Tuhan yang menciptanya? Otak manusia yang mereka kenderaan itu sampai terjadinya kenderaan tersebut, bukankah Tuhan juga yang menciptakannya? Getah yang menjadi sebahagian daripada bahan kenderaan itu, siapakah yang menciptakannya? Tuhankah atau manusia?

6. Emas, perak, intan berlian yang diperebutkan oleh sesetengah orang dan sangat dibangga-banggakan oleh kaum wanita itu, siapakah yang menciptakan? Tuhankah atau manusia yang menjadikan bahan-bahan galian itu? Bukankah semuanya itu , Tuhan yang menciptakannya?

Begitulah seterusnya, kalau kita bahaskan tentang benda-benda lain yang dikatakan menjadi milik manusia itu, apakah manusia yang menciptakannya? Atau Tuhan yang menciptakan? Tentulah setiap hati akan menjawab bahawa ALLAH jua yang menjadikan semua isi langit dan bumi termasuk seluruh makhluk. Dia-lah Pencipta yang mutlak. Sekaligus semua benda itu menjadi milik-Nya dan hak-Nya. Bahkan usaha-usaha manusia itu pun tertakluk kepada kuasa dan ciptaan ALLAH.

Kalaupun pada lahirnya manusia itu mencipta atau membuat atau mereka sesuatu, tetapi sebenarnya mereka hanya menyusun-nyusun apa yang telah sedia ada, iaitu bahan-bahan yang telah dijadikan oleh ALLAH SWT itu.

Apa kata kalau tidak ada bahan-bahan yang diciptakan oleh ALLAH itu, bolehkah manusia membuat tanah sendiri? Bolehkah manusia membuat kayu sendiri? Bolehkah manusia membuat besi sendiri? Bolehkah manusia buat getah sendiri, intan berlian dan emas perak sendiri, dan lain-lain lagi? Apakah semuanya itu manusia boleh membuatnya? Kalau bahan-bahan tadi tidak diciptakan oleh ALLAH, . apakah manusia dapat membuat kereta? dapat bangunkan rumah? dapat berfikir? dapat buat segala-galanya? Tentu tidak.

Kalaulah tidak ada otak, tangan, kaki, telinga dan lain-lain yang ALLAH ciptakan itu, apakah manusia mampu menyusun bahan-bahan tersebut? Bolehkah bahan-bahan tersebut tersusun-susun dengan sendirinya jadi kereta, kapal terbang, kapal, rumah, meja, paku, hinggalah ke sekecil-kecil barang atau benda? Tanpa otak yang ALLAH jadikan, sudah tentu manusia tidak boleh berbuat apa-apa.

Perlu juga diingatkan di sini tentang sesetengah orang yang merasakan amal ibadah dan usahanya adalah miliknya. Sehingga menganggap dirinya hebat beramal, banyak Tahajjud, banyak puasa, banyak naik haji, banyak bersedekah, banyak menolong orang lain (melakukan khidmat masyarakat) dan sebagainya. Selalu kita dengar sesetengah orang suka membual-bualkan amal ibadah mereka dengan bangganya, seperti katanya, "Saya kuat Tahajjud", "Saya puasa tiga bulan berturut-turut" , "Saya sudah sepuluh kali naik haji", "Dia dapat hidup tu, saya yang menanggungnya" , "Masjid ni sayalah yang bina" dan bermacam-macam lagi hingga dia rasa ujub dan riyak.

Kadang-kadang sampai menghina-hina atau memperli-perli orang lain yang tidak dapat berbuat seperti mereka. Kerana dia terasa lebih daripada orang lain. Dia rasa bahawa seluruh amalan yang dia buat itu adalah miliknya. Dia lupa amal ibadah itu adalah hadiah daripada ALLAH SWT.

Kalau begitu, mari kita tanya orang ini:

1. Anggota kepala, otak, badan, kaki dan tangan yang mengusahakan sehingga dapat menghasilkan Tahajjud, haji, puasa yang baik dan banyak itu, siapakah yang menciptakannya? Bukankah ALLAH yang menciptanya? Anggota-anggota yang berdiri, rukuk, sujud, apakah milik dia atau milik ALLAH? Mulut yang digunakan untuk berzikir itu, apakah dia yang mencipta atau Tuhan yang menciptanya?

2. Detikan hati yang mendorong tangan untuk bersedekah, menolong orang (melakukan khidmat masyarakat), siapa yang mengingatkan dan mendorongnya? Dirinya atau Tuhan yang menciptakannya?

Tentulah hati menjawab ALLAH jua yang menjadikan semuanya. Sekaligus milik-Nya. Kalaupun lahimya manusia mampu beramal banyak, beribadah banyak, tapi itu semuanya adalah hidayah dan dorongan dari ALLAH, yang tanpanya tentulah mereka tidak akan beramal dan beribadah.

Andaikata tidak ada anggota-anggota yang ALLAH ciptakan itu, bolehkah dia bertahajjud, berpuasa, sedekah, buat khidmat masyarakat dan sebagainya? Apakah semua anggota itu manusia boleh membuatnya? Kalaulah anggota-anggota itu tidak ada, alangkah malangnya manusia ini. Tanpa anggota-anggota itu manusia tidak boleh buat apa-apa. Bahkan tidak bernilai dan berharga langsung.

Untuk hal-hal yang berkaitan dengan alam maknawiyah pula, manusia selalu tersilap tafsir. Kerana merasakan itu juga adalah miliknya. Antaranya manusia merasakan:

1. Kedudukan, pangkat, jawatan dan kuasa adalah miliknya.
2. Cerdik, pintar, bijak, petah adalah miliknya.
3. Handal, kuat, gagah, bertenaga, sihat adalah miliknya.
4. Berilmu, berpengalaman, peka, pakar, berjaya adalah miliknya.
5. Rajin, sabar, syukur, redha, pemaaf dan lain-lain lagi adalah miliknya.

Bila itu semua dirasakan miliknya, maka disebut-sebutnya tentang kelebihannya itu; sekurang-kurangnya terlintas di hati dengan katanya, "Tak tahu ke aku ni orang yang berpangkat? Aku tangkap dan penjara nanti", "Nampaknya tidak ada yang lebih cantik, lawa, cerdik, bijak dari aku", dan bermacam-macam lagi kata-kata yang boleh membuat orang tersinggung, marah, luka hati, benci serta meluat.

Sikap-sikap buruk atau perangai keji ini timbul daripada rasa ujub (hairan dengan diri sendiri), rasa riyak, sombong, ego, besar diri, iaitu nafsu jahat yang ada dalam din seseorang itu. Sehingga sanggup dia memperkecil- kecilkan orang lain, menghina-hina, memperleceh- lecehkan, memalukan dan menjatuhkan maruah orang di depan orang lain kerana dia terasa lebih daripada orang lain. Dia terasa kelebihan-kelebihan itu kepunyaannya.

Sekiranya ia dipuji orang dengan kelebihan-kelebihan yang ada padanya, dia rasa bangga, hatinya berbunga, makin terasa dia seorang yang luar biasa.

Kesimpulannya, dia merasa bahawa segala kelebihan yang ada padanya itu adalah milik dan kepunyaannya. Dia lupa bahawa segala-galanya adalah nikmat dan milik ALLAH dan dihadiahkan kepadanya. Patut dia terasa malu dengan ALLAH dan bersyukur pada-Nya.

Benarkah hal-hal maknawiyah dan rohiyah yang ada pada manusia itu adalah milik mutlaknya? Kalau begitu mari kita tanya mereka itu:

1. Kuasa, pangkat, jawatan, kedudukan yang ada padanya itu milik siapa?
Akal yang digunakan untuk berfikir sampai dia boleh mentadbir dan menjawat jawatan dan kedudukan yang tinggi, siapakah yang menciptakannya? Diakah atau Tuhan? Rohnya yang menggerakkan anggota-anggotanya hingga jadi cukup bertenaga dan akhirnya mendorong dia jadi berkuasa itu, siapakah yang menjadikannya? Dia atau Tuhankah yang menjadikannya?

2. Kecerdikan, kepintaran, kepetahan yang dikatakan miliknya itu, siapakah yang jadikan? ALLAH-kah atau dia yang menjadikan?

3. Handal, kuat, gagah, bertenaga dan sihat yang dikatakan miliknya itu, siapakah yang menjadikannya? Tuhan atau diakah?

4. Berilmu, berpengalaman, peka, pakar, berjaya yang dikatakan miliknya itu, siapakah yang menjadikan ilmu itu Tuhankah atau dia sendiri? Siapa yang memberi ia umur panjang dan lama hidup? Tuhankah atau dia sendiri? Sensitif dan perasa yang ada pada deria lidah, mata, telinga, hidung dan kulit yang menjadikan ia peka itu siapakah yang menjadikannya? Diakah atau Tuhan?

5 . Rajin, sabar, syukur, redha yang dirasakan miliknya itu,dari mana datangnya tangan dan anggota yang rajin itu? Tuhankah atau dia? Dia dapat bersabar, bersyukur dan redha itu, siapakah yang jadikan hatinya itu? Tuhankah atau dia?

Hati setiap orang akan menjawab dengan sendirinya ALLAH-lah yang menjadikannya. Jika ada pun pada lahirnya manusia itu cerdik, pintar, bijak, petah, handal, kuat, gagah, bertenaga, sihat, berilmu, berpengalaman, peka, pakar, berjaya, rajin, sabar, redha, syukur, pemaaf dan lain-lain lagi, itu adalah nisbi atau nisbah atau dibangsakan semata-mata. Sebenarnya ia tetap menggtmakan akal, ilmu, tenaga dan lain-lain anggota maknawiyah yang telah sedia ALLAH jadikan.

Apakata seandainya ALLAH tidak berikan apa-apa kepadanya. ALLAH tidak beri roh (nyawa), akal, ilmu, tenaga; sudah tentu tidak punya erti apa-apa lagi. ALLAH tarik roh, ertinya manusia akan jadi mayat yang tidak berguna lagi, bahkan menyusahkan orang yang hidup menguruskannya. ALLAH tarik ilmu, manusia jadi bodoh; ALLAH tarik tenaga, manusia akan lumpuh. ALLAH tarik deria mata, manusia jadi buta; ALLAH tarik deria telinga, manusia jadi pekak. ALLAH tarik satu urat sahaja, manusia jadi cacat. Begitulah seterusnya yang menunjukkan semua yang ada pada manusia itu adalah milik ALLAH yang mutlak. Untuk orang-orang ini sudah pun ALLAH ingatkan dengan amaran-amaran keras melalui fir-man-Nya:

Terjemahan: Dan Dia-lah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dia meninggikan kamu atas sebahagian yang lain beberapa darjat untuk mengujimutentang apa yang diberikun-Nya kepadamu. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat seksaan-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Al An'am 165)

ALLAH juga memberi warning kepada orang yang suka melahirkan apa yang ada dalam hatinya. Firman-Nya:

Terjemahannya: Kepunyaan ALLAH-lah segala apa yang ada di langit dan di bumi. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu menyembunyikannya nescaya ALLAH akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu. Maka ALLAH mengampuni siapa yang dikehendakiNya dan menyeksa siapa yang dikehendakiNya dan ALLAH Maha Kuasa atas segala sesuatu. (Al Baqarah: 284)

Jadi nampaklah sekarang ini oleh mata lahir dan mata batin (hati) kita bahawa segala yang lahir dan yang batin semuanya ciptaan ALLAH, bukan ciptaan manusia. Ertinya ia hak milik ALLAH yang mutlak yang hanya diberi pinjam kepada manusia mengikut ketentuan di azali lagi. Kemudian ianya diagih-agih mengikut kehendak-kehendak- Nya sebagai amanah-Nya agar dapat dijadikan alat oleh manusia untuk memudahkannya mengerjakan perintah ALLAH SWT. Itulah tujuan sebenar nikmat-nikmat itu diberi oleh ALLAH kepada manusia.

Bila-bila masa sahaja ALLAH boleh mengambilnya balik dari manusia atau boleh mengekalkannya. ALLAH beri benda-benda tersebut dan lain-lain lagi dengan tujuan supaya semuanya itu digunakan kepada apa yang diredhai oleh ALLAH sahaja. Kerana semua itu ciptaan-Nya dan kepunyaan-Nya. Kita tidak boleh menggunakannya sesuka hati.

Oleh itu jelaslah bahawa bila manusia dikatakan memiliki itu dan ini, ianya hanya merupakan nisbi (dibangsakan) semata-mata. Bukan secara mutlak. Hakikat sebenamya manusia ini tidak punya apa-apa. Kerana pada hakikamya barang itu bukan milik manusia, maka ia tidak boleh menggunakannya sesuka hati, tapi tertakluk kepada kehendak-kehendak dan peraturan-peraturan yang ALLAH telah tetapkan. Kalau manusia ini menyalahgunakan barang kepunyaan ALLAH itu, sewaktu ALLAH menjemput nanti mereka akan ditanya, cara mana ia mendapatkan barang-barang itu dan ke mana ia digunakan.

Kalau begitulah hakikatnya, ertinya apa yang ada pada manusia ini adalah pinjaman ALLAH. Mana boleh dibangga-banggakan dan mana boleh manusia bermegah-megah dan sombong dengan benda-benda tersebut. Juga mana boleh manusia menggunakannya sesuka hati tanpa mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh ALLAH yang mencipta dan memiliki barang-barang itu.

Kalau manusia tidak menggunakan ciptaan dan milik ALLAH yang ada padanya itu untuk ALLAH dan apa yang diperintahkan ALLAH maka mereka dianggap kufur dengan nikmat. Risikonya terimalah nanti balasan ALLAH di Akhirat dengan Neraka. Wal'iyazubillah. Begitulah amaran Allah dalam ayat:

Terjemahannya: Sesungguhnya jika kamu bersyukur (di atas nikmat) nescaya Kami akan tambah lagi kepada kamu. Dan jiku kamu kufur (kufur nikmat) sesungguhnya azab-Ku amat pedih (yang bersangatan) . (Ibrahim: 7)

*Ikhwan

No comments:

Post a Comment