Tapi yang hebat lagi dalam diri kita ini seperti ada berbagai-bagai lautan rasa yang gelombang-gelombangnya bertukar-tukar dengan rupa yang begitu pantas.
Kadang-kadang kita dilambung gelombang rasa gembira, kadang pula rasa sedih, sayu, takut, marah, sayang, rindu, kasih, cinta, gerun, geram, benci, meluat dan jijik. Tidak saja itu, lautan rasa boleh bertukar warna kepada rasa hebat, megah, sombong, tinggi diri, bangga, rasa mampu, rasa selamat, rasa boleh serba serbi.
Tiba-tiba dilanda pula ribut rasa derita, kecewa, putus asa, terseksa, lara, rasa diri tak berguna, rasa hina, rasa lemah, rasa tak selamat, rasa serba tak boleh. Di sudut lain lautan ini membawa irama gelombang yang lain pula. Rasa bakhil, gila dunia, gila kuasa, gila puji, gila wanita, tamak haloba, hasad dengki, dendam kesumat, rasa nak tipu, nak bohong, nak mencuri, nak bunuh orang, nak bunuh diri, mengangkat diri, jatuhkan orang dan macam-macam.
Namum janganlah lupa, lautan itu tidak cukup setakat itu. Ada pula jenis gelombang yang indah-indah melayari lautan rasa manusia hingga terbuai-buai kita dibuatnya oleh rasa-rasa sayang. Sayang ibu bapa, sayang isteri, suami. Sayang anak-anak, sayang kawan, sayang jiran dan siapa-siapa yang baik-baik. Sayang kucing, sayang bunga, sayang barang-barang, sayang hidup, sayang kerja, sayang rumah dan sayang dunia.
Seribu satu macam sayang berombak-rombak di dalam dada kita. Diiringi pula oleh rasa-rasa yang indah-indah seperti pemurah, peramah, bersangka baik, berbudi tinggi, lapang dada, berkasih sayang, memaafkan, rasa bersalah dan meminta maaf, rendah diri, memuliakan, ingin disayangi dan membalasnya.
Tapi kemuncak dari semua itu, ada satu rasa yang paling MAHAL dari semua iaitu RASA BERTUHAN. Rasa inginkan Tuhan sewaktu-waktu susah. Ajaibnya penciptaan, pemberian dan anugerah yang maha luas ini. Bagaimana diri manusia yang sekecil ini dibenarkan memiliki seribu satu macam khazanah rohaniah? Siapa pereka, perancang, pencipta dan mengawal system super power ini? Tuhan, bukan? Hanya Dialah yang semampu ini. Hanya Dia yang sebijak dan sekuasa itu! Hanya Dia dan Dia saja. Sebab itulah Tuhan yang Yang Agung ini telah memfirmankan bahawa: “Sesungguhnya manusia adalah sebaik-sebaik ciptaan dan kejadian”
Satu ciptaan yang jauh lebih hebat dari ciptaan gunung, bukit, laut, langit dan bumi. Hanya manusialah terutama manusia bertaqwa yang disempurnakan dengan sesempurna ciptaan. Yakni dibekalkan benih taqwa dalam lautan hati dan roh mereka. Yang mana daripada keseluruhan kecintaan-kecintaan yang disebutkan tadi, mereka dapat tundukkan semuanya kepada cintakan Tuhan yang Agung. Orang yang gagal menundukkan kecintaan kepada Allah, mereka hanya dapat cinta murahan. Cinta inilah yang direbutkan. Sedangkan cinta Allah dibiarkan.
Ada rasa bertuhan, sayang Tuhan, inginkan Tuhan, mencari Tuhan dan bercakap, bertanya, meminta, memanja, mengadu, merintih, merindui, mencintai dan menyayangi Tuhan dengan seagung-agung perasaan cinta.
Perasaan-perasaan ini kalau disuburkan, dibina, dibaja, diarahkan, sungguh mampu akan menjadikan manusia berhati malaikat, yakni mengabdikan seluruh hidup, masa dan jiwa raganya menyembah Allah. Membawa rasa kehambaan dan rasa bertuhan disetiap detikan hati dan jantungnya. Hidup mati ditujukan keada Allah semata-mata.
Inilah yang Allah maksudkan:
“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah Aku.”
Saudara saudari,
Siapa kenal dirinya nescaya dia kenal Tuhannya. Renunglah penciptaan diri kita. Nescaya kita akan terpegun dan terkejut! Sebab semua kepunyaan kita itu bukan kita yang mengawalkan, mentadbir, mengurusnya. Degupan jantung, kerdipan mata, penapisan ginjal, sedutan dan lepasan nafas, merakamkan maklumat, menyimpan dan mengeluarkannya sepanjang 50 dan 60 tahun, mengalunkan rasa-rasa, gerakan hati yang silih berganti tiada henti-henti, sesungguhnya diluar kawalan kita. Selamat tidaknya diri kita bukan kita yang menentukan. Bila jantung akan berhenti berdegup sekaligus memberhentikan jentera seluruh sistem manusia ini? Bukan kita yang boleh menjawabnya!
Tapi sayang ramai saintis yang menyelidik rahsia penciptaan manusia ini jadi tidak percaya Tuhan bahkan anti Tuhan! Apa mereka tidak perasankan bahawa seluruh keajaiban itu ada mula dan akan berakhir? Oleh siapakah memula dan mengakhirkan itu berlaku? Sedangkan empunya diri pun tidak tahu. Bukankah jawapannya ialah oleh Tuhan?
Instinct atau fitrah kita yang menjawabnya. Sebab fitrah memang dibentuk bersama rasa yakin adanya Tuhan. Rasa mahukan Tuhan. Sebab itu kita bangga mengaku sebagai seorang hamba Tuhan. Tetapi marah kalau orang tuduh kita hamba syaitan, hamba seks, hamba duit dll. Pelik manusia ini, macam-macam yang dicinta tapi marah bila dikaitkan dengan banyak-banyak itu. Sebab cinta itu murah. Sedangkan cinta Tuhan itu mahal. Saintis itu sebenarnya ada rasa-rasa mahukan Tuhan. Terutama waktu-waktu susah mereka akan memanggil Tuhan dengan kata-kata oh my god! Tapi sayang perasaan terhadap Tuhan itu tidak dibaja, tidak disuburkan. Sedang rasa cintakan girlfriend itu begitu dipupuk. Sayang anak itu dibelai-belai. Sayangkan ibu bapa amat dibesar-besarkan. Sayang dunia, sayang pangkat, cinta kereta dan lain-lain sungguh bertakhta di hati. Sanggup hidup mati kerananyalah! Walhal apa sangatlah semua itu pada kita. Dia pernah ada dan pernah tiada.
Sedangkan Tuhan Dialah nafas kita, Dialah makanan kita, rezeki kita, Dialah bank kita, Dialah daya ingatan kita, Dialah manusianya kita, Dialah tidur lena kita, Dialah senyum tangis kita, Dialah nikah kahwin kita, Dialah kaya miskin kita, Dialah sakit sihat kita, tua muda kita, Dialah baik jahatnya kita, Dialah pandai bodohnya kita, Dialah hidup matinya kita, Dialah pandangan kita, penglihatan kita, perasaan beranak tidaknya kita, Dialah accidentnya tidak kita, Dialah orang suka tidaknya kita, Dialah mulia dan hinanya kita, berjawatan dan berkuasa tidaknya kita, jatuh bangun seseorang dan sesuatu kamu pun di tangan Tuhanlah juga. Lihat firmannya Ali Imran ayat 26. “Sesungguhnya Tuhan adalah segala-galanya.”
Tuhan sangat sayang pada kita manusia dan Dia sangat inginkan kita menyayangi-Nya. Kita boleh berkawan dengan-Nya bahkan Dia adalah kawan yang paling setia. Siapa yang kata makhluk manusia tidak boleh berkawan dengan Allah pencipta adalah satu pembohongan.
Sebab Rasulullah SAW ketika akan wafat ada bersabda:
“Aku akan pergi kepada kawan yang Tinggi (Allah)”
Tiada cacat celanya Allah kalau kita jadi kawan Dia. Bukankah setiap saat Dia yang menjaga kita, memberi rezeki dan segalanya? Dia yang menguruskan kita, menolong kita, mengajar, membela, melindung, menjaga, memastikan waktu-waktu kita samaada untuk sihat, sakit, hidup dan mati. Allah tidak hina kerana bersama kita kerana Dia Maha Sempurna. Tiada apa yang boleh mencacat-celakan kesempurnaan-Nya. Dia sebagai kawan setia, prinsip hidup dan tempat rujuk.
Bukankan setiap kali kita sembahyang kita berkata pada-Nya
“Akan Engkaulah kami sembah
Akan Engkaulah kami meminta tolong”
Lagi yang selalu kita ungkapkan kehadrat Allah waktu sembahyang ialah “Ku sembahkan puja dan puji kepada Zat yang menghadiahkan alam ini kepadaku”
Ruginya kita kalau tidak mempedulikan Tuhan. Ruginya kita kalau tidak mengambil Tuhan jadi kawan yang setia. Malangnya kita kalau kita tidak cinta dan tidak sayang pada-Nya. Sedangkan kesayang-kesayangan kita yang lain, tidaklah berjasa dan berbaik pada kita sebanyak yang Tuhan lakukan untuk kita. Akhirnya ketahuilah bahawa kita ada Tuhan. Dia adalah segala-galanya. Oleh itu sayangilah Tuhan.
SEKIAN..petikan dari R..Daily